DJI Matrice 30 Dan 30T Ialah Dron Yang Boleh Diterbangkan Dalam Hujan Lebat Dan Suhu Bawah Tahap Beku

Dron mempunyai satu kelemahan ketara iaitu ia tidak boleh diterbangkan dalam situasi hujan yang dan suhu tahap beku. Ia biasanya tidak mampu mengekalkan ketinggian apabila angin kuat dan prestasi bateri berkurangan apabila terlalu sejuk. DJI menyelesaikan dua halangan ini dengan memperkenalkan dron terkini mereka DJI Matrice 30 dan DJI Matrice 30T.

Kedua-dua dron siri Matrice 30 boleh diterbangkan dalam cuaca hujan lebat sehingga angin mencecah kelajuan 15 m/s dan suhu menjunam ke -20°C. Ia tidak dipasarkan untuk pengguna biasa tetapi untuk kegunaan komersial. Sungguhpun begitu ia masih hadir dengan ciri boleh dilipat untuk memudahkan proses ia dibawa ke lokasi kerja.

Kamera yang digunakan pula sebesar 48 megapixel sensor 1/2 inci CMOS dengan kemampuan zum optikal sehingga 16x dan digital sehingga 200x. Kamera sekunder 12MP pula dipadankan dengan lensa sudut lebar. Rakaman video boleh dilakukan sehingga 4K 30FPS. Terdapat juga sistem mencari jarak yang memberikan ketepatan ukuran dari jarak 1200 meter. Pada model Matrice 30T pula terdapat kamera mengesan suhu radiometrik dengan resolusi 640×512 pixel.

Set lengkap siri Matrice 30 hadir dengan beg simpanan khas dan dermaga pengecasan yang kalis air IP67. Pek bateri turut mempunyai rekaan kalis suhu bagi memastikan ia tidak beku sebelum digunakan sehingga prestasinya menurun.

Harga jualan DJI Matrice 30 bermula daripada $10,000 (~RM42,000) dan DJI Matrice 30T pula bermula daripada $14,000 (~RM59,000) sebuah.