Dengan AirPods Gen 3, Apple mengemaskini rekaan fon telinga nirwayar yang pada awalnya ditertawakan tetapi kemudiannya menjadi piawaian emas di peringkat global. Setiap kali selepas AirPods dilancarkan, ramai akan mula bertanya sama ada ianya berbaloi untuk dimiliki berbanding puluhan TWS lain di pasaran. Berdasarkan tajuk anda pasti sudah dapat meneka jawapan kepada persoalan ini tetapi saya akan menyentuh secara lebih terperinci bagaimana kesimpulan ini dicapai.
Spesifikasi
Apple AirPods Gen 3 | |
---|---|
Jenis | Fon telinga terbuka |
Pemandu | 11mm |
Mikrofon | 6 mikrofon |
Bateri | 6 Jam/ 30 jam dengan pod |
Port pengecas | Lightning |
Pengecasan nirwayar | Ya/MagSafe |
CODEC | AAC, SBC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya/Siri |
Pad Kawalan | Ya/ 2x pad tekanan |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Harga Jualan | RM 829 |
Rekaan AirPods dikemaskini dengan pod pengecas yang lebih lebar, tangkai yang lebih pendek dan tubuh yang lebih besar. Tidak seperti beberapa ura-ura yang didengari sebelum pelancaran, Apple tidak menyertakan putik telinga silikon yang akan menyumbang lubang telinga sebaliknya ia lebih mirip kepada rekaan kekisi audio pada AirPods Gen 2.
Apple masih tegar hanya menawarkan AirPods dalam warna putih berkilat dengan keseluruhan tubuhnya diperbuat daripada bahan plastik. Ini membuatkannya masih lagi licin dan seperti pengalaman menggunakan AirPods generasi terdahulu, agak mudah untuk putih telinga terjatuh semasa cuba dikeluarkan dari pod pengecas. Proses memegang menjadi lebih sukar pada Gen 3 kerana tangkai yang kini lebih pendek. Tetapi proses mengeluarkan putik telinga dari pod pengecas masih lagi mudah dan magnet yang digunakan juga cukup kuat untuk mengelakkannya dari terjatuh dengan mudah.
Rekaan baharu ini memang lebih kemas dengan tiada tangkai memanjang yang terjulur keluar dari telinga ketika sedang dipakai. Pada tangkai masih terdapat sensor tekanan yang digunakan untuk mengawal muzik, menyeru pembantu maya dan menjawab panggilan telefon. Tanpa pad sentuhan, jumlah kawalan gestur yang boleh dilakukan adalah terhad jika dibandingkan dengan TWS keluaran Sony dan Samsung misalnya.
Penambahbaikan turut dilakukan pada ketahanan air kerana akhirnya melepasi piawaian IPX4 yang membolehkannya digunakan untuk bersukan tanpa perlu risau peluh menyebabkan kerosakan.
Satu ialah tiada isu tersentuh pad sesentuh secara tidak sengaja atau ia gagal mengesan gestur yang ingin dilakukan. Rekaan ini mempunyai pro dan kontra masing-masing cuma yang boleh saya katakan ialah saya lebih suka diberikan lebih banyak kawalan dari hanya tiga yang disokong AirPods Gen 3.
Rekaan putik telinga yang lebih besar membuatkan ia lebih kemas tersemat pada telinga. Ia juga amat selesa untuk digunakan untuk tempoh yang lebih lama kerana tiada putik silikon yang menyumbat telinga. Kekurangan adalah AirPods Gen 3 tidak dilengkapi sebarang sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) atau ciri mod tembus.
Apple masih belum mampu menawarkan ANC dengan rekaan fon telinga terbuka sedangkan Huawei dan Samsung sudah boleh melakukannya sejak dua tahun yang lalu. Ini adalah sebab utama mengapa harga jualan AirPods Gen 3 adalah lebih murah berbanding AirPods Pro.
Pod pengecasnya juga diperbuat daripada plastik tebal yang licin. Bahagian penutupnya Sebuah lampu LED menujukan tahap pengecasan dan mod tambatan diletakkan pada bahagian hadapan. Sementara itu butang untuk melakukan tambatan secara manual pula diletakkan pada bahagian belakang. Pod ini menyokong pengecas berwayar menggunakan kepala Lightning dan juga nirwayar menggunakan MagSafe.
Dari segi rekaan ia amat mirip dengan rekaan pod pengecas AirPods Pro dan oleh itu amat selesa apabila diletakkan di dalam kocek kerana tidak mempunyai bucu tajam. Saiznya juga cukup kompak cuma kerisauan terletak pada kemasan licin yang sudahpun calar balar kurang sebulan saya menggunakannya.
Dari segi estetik tidak boleh dinafikan Apple bijak mereka produk keluaran mereka. Tetapi dari sudut praktikal saya amat berharap mereka boleh meminjam rekaan Sony yang memberikan pod pengecas TWS mereka kemasan yang tidak berkilat. Bukan sahaja ia akan menyelesaikan isu calar balar dalam masa terdekat tetapi juga membuatkan ia lebih mudah dicengkam tanpa risau ia terjatuh dari tangan kerana licin.
Penggunaan
Tidak seperti pengeluar TWS yang lain, AirPods tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi khusus untuk menggunakannya. Pada peranti Apple, ia akan terus dikesan sejurus selepas penutup pod dibuka. Tahap bateri AirPods dan pod pengecas juga dipaparkan dengan jelas. Kemudiannya selepas ditambat, tahap bateri akan diperlihatkan pada widget bateri iPhone dengan jelas.
Proses ia dikesan adalah jauh lebih pantas dan konsisten berbanding pada kesemua TWS Android yang pernah kami ulas sebelum ini kerana dibantu oleh cip Apple H1 yang memudahkan proses tambahan. Selain proses tambatan yang mudah, Apple H1 juga memudahkan ia ditukarkan kepada peranti Apple lain yang mungkin dimiliki pengguna.
Sepanjang tempoh ulasan saya mempunyai pengalaman yang amat lancar menggunakan AirPods Gen 3 pada iPhone, iPad Mini, iPad Pro, Mac Mini, dan MacBook Air M1 di rumah. AirPods dengan mudah mengesan peranti mana ia sedang ditambat dan ke peranti mana ia perlu diubah. Jika putik audio dicabut dari telinga muzik terhenti secara automatik dan disambung semula dengan pantas apabila bersambung dengan telinga. Sungguh. Sebagai pengguna ekosistem Apple apa yang ditawarkan AirPods ini terasa seperti magis.
Perubahan paling besar di antara AirPods Gen 2 dan Gen 3 ialah sokongan audio spatial. Apabila menstrim lagu menggunakan Apple Music misalnya dapat didengari dari arah mana muzik dimainkan apabila kepala diputar. Ciri ini memang menarik tetapi harus saya katakan terasa seakan gimik. Sepanjang tempoh ulasan saya hanya menggunakan mod spatial sebanyak 10 kali sebelum mematikannya terus.
Satu lagi kekurangan yang ingin saya sentuh ialah tiada pilihan untuk mengkustomasi kawalan pada sensor di bahagian tangkai. Pilihan untuk menyahaktifkannya juga tidak diberikan. Ketiadaannya membuatkan saya terasa sedikit canggung kerana sudah terbiasa diberikan pilihan pada TWS lain.
Dalam ekosistem Apple semuanya berfungsi dengan lancar. Bagaimana pula jika anda ingin menggunakannya pada Android ataupun PC? Jawapannya ialah ia begitu lancar. Pertama sekali tiada ciri mengesan AirPods secara automatik. Butang tambatan manual perlu ditekan pada pod pengecas untuk AirPods dikesan dalam sistem bluetooth Android.
Kemudian selepas ditambat, masih tiada pilihan mengkustomasi pad tekanan tangkai. Ini ialah perkara kecil kerana isu lebih serius ialah tahap bateri AirPods langsung tidak dipaparkan pada status bluetooth peranti Android. Maka saya sering harus berteka-teki sama ada AirPods yang digunakan masih berbateri ataupun tidak. Isu yang sama juga berlaku apabila menggunakan TWS ini pada peranti Windows 11.
Sensor menjeda muzik apabila AirPods dicabut pada telinga juga disokong pada Android. Dengan kata lain pengalaman menggunakan AirPods di luar ekosistem Apple adalah kurang memuaskan kerana terasa lebih pincang berbanding fon telinga kelas permulaan Redmi yang dijual pada harga jauh lebih mampu milik. Saya tidak boleh menyarankan mereka yang tidak mempunyai produk Apple untuk menggunakan AirPods Gen 3 pada waktu ini.
Kualiti Audio dan Mikrofon
Kualiti audio adalah baik dengan treble yang nyaring serta bass yang kuat. Profil audio adalah landai yang dan neutral. Pada tetapan audio yang paling lantang muzik masih kedengaran jelas dan tidak pecah.
Kelebihan yang boleh saya berikan kepada AirPods ialah kualiti audio yang lebih jelas ketika melakukan panggilan telefon dan telesidang. Suara tidak kedengaran seperti di dalam air atau diproses untuk menghilangkan hingar sehingga kedengaran seperti robot.
Kekurangan pula ialah dengan rekaan terbuka audio dari luar menerjah rongga telinga dengan mudah. Perbualan rakan sepejabat di meja hadapan masih dapat didengari walaupun muzik didengari pada tetapan paling lantang. Begitu aneh sekali sistem pembatalan hingar aktif (ANC) langsung tidak diberikan oleh Apple. Mereka amat berani menawarkan fon telinga dengan ciri asas i ini pada harga yang jatuh ke dalam kategori premium untuk pasaran Malaysia.
Isunya ialah AirPods Gen 3 dijual pada harga RM829 sepasang yang adalah lebih mahal berbanding Nothing ear (1)(RM499) dan Galaxy Buds2 (RM499) yang saya rasakan pesaingnya yang paling setara. Tetapi ear (1) dan Buds2 hadir dengan sistem ANC dan juga mod tembus yang agak baik.
Kualiti audio kedua-dua pesaing ini juga lebih baik terutamanya dari segi kemampuan bass. Lebih menyedihkan buat Apple ialah Galaxy Buds Pro yang saya merupakan TWS kegunaan harian saya sejak tahun lalu dijual pada harga RM799 dengan audio yang jauh lebih baik serta pelbagai ciri tambahan yang membuatkannya pembelian lebih berbaloi jika anda ingin berbelanja lebih tetapi masih tidak mampu membeli AirPods Pro (RM1099).
Bateri
Bateri boleh bertahan sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas atau 6 jam menurut Apple. Ia Dalam penggunaan dunia sebenar ia bertahan sehingga 8 jam adalah tidak mustahil lebih-lebih lagi jika muzik didengari pada tahap yang lebih rendah. Hayat bateri AirPods Gen 3 adalah lebih baik jika saya bandingkan dengan Buds 2.
Proses pengecasan mengambil masa sekitar dua jam menggunakan kabel Lightning dengan pod boleh membekalkan kuasa untuk penggunaan sehingga lima hari. Saya gunakan AirPods di pejabat dan ia hanya dicas pada hujung minggu.
Kesimpulan
AirPods Gen 3 menawarkan pengalaman penggunaan yang baik sekiranya anda memang menggunakan ekosistem Apple. Proses bertukar antara peranti berlaku dengan pantas tanpa banyak songel. Jika anda inginkan fon telinga kelas pertengahan terbaik untuk ekosistem Apple saya boleh sarankan AirPods Gen 3 kepada anda yang mahukan fon telinga dengan audio spatial paling mampu milik di Malaysia.
Namun begitu realitinya ia tidak begitu serasi digunakan di luar ekosistem Apple. Beberapa ciri asas yang penting seperti melihat tahap bateri dan menjeda muzik secara automatik langsung tidak disokong. Tetapi kekurangan paling ketara untuk AirPods Gen 3 ialah harganya yang mahal untuk pasaran Malaysia.
Nothing ear (1) dan Samsung Galaxy Buds (2) menawarkan ciri yang lebih mewah, audio yang lebih memuaskan dan tidak lokek kerana hadir dengan ANC secara terbina. Jadi tidak melampau untuk saya katakan hanya audio spatial membuatkan AirPods Gen 3 spesial. Tanpanya saya rasakan fon telinga kelas pertengahan lain di pasaran adalah pilihan yang lebih bijak serta menawarkan nilai lebih baik.
Pro
- Rekaan baharu yang selesa dan kompak.
- Fon telinga audio spatial paling mampu milik Apple.
- Kalis air IPX4.
- Hayat bateri yang lebih baik berbanding AirPods Gen 2 dan AirPods Pro.
- Selesa dipakai laman kerana tidak menyumbat lubang telinga.
Kontra
- Kualiti audio tidak setanding harga.
- Tidak berfungsi dengan baik di luar ekosistem Apple.
- Tiada ANC atau mod tembus.
- Hanya satu pilihan warna.