PFizer Dan BioNTech Mengatakan Tiga Dos Vaksin COVID-19 Mereka Mampu Mengekang Varian Omicron

Virus COVID-19 varian Omicron dilihat sebagai varian paling serius setakat ini kerana kemampuan virus tersebut untuk memutasi menjadi virus yang lebih berbahaya daripada apa yang kita ketahui sebelum ini.

Terkini, Pfizer dan BioNTech, syarikat yang membangunkan vaksin Comirnaty melaporkan bahawa tiga dos vaksin mereka, iaitu dua dos vaksin asas dan satu vaksin tambahan telah memperlihatkan kebolehan untuk meneutralisasikan virus varian Omicron tersebut.

Mereka mengatakan bahawa dua suntikan dos vaksin tersebut boleh mengelakkan gejala-gejala penyakit daripada merebak dengan teruk, tetapi kesihatan individu masih lagi akan terganggu dan antibodi daripada dua dos tersebut mungkin tidak mencukupi untuk mengekang serangan virus. Melalui ujian yang dilakukan, dos ketiga dikatakan akan memulihkan pertahanan antibodi tersebut.

Sampel darah yang diambil daripada penghidap varian Omicron memperlihatkan bahawa tiga dos vaksin Comirnaty mampu meneutralisasikan virus tersebut pada tahap sama seperti bagaimana dua dos vaksin tersebut boleh meneutralisasikan virus COVID-19 yang ditemui di China.

Pfizer dan BioNTech juga mengatakan bahawa sekiranya diperlukan, mereka boleh menyiapkan vaksin khusus untuk varian Omicron ini dalam masa beberapa bulan.

Walaubagaimanapun, ia dilihat bahawa dos tambahan vaksin COVID-19 adalah sesuatu yang akan perlu diambil oleh orang ramai untuk memastikan bahawa mereka sekurang-kurangnya tidak terkena gejala kesihatan yang teruk sekiranya dijangkiti oleh varian ini.

Sumber: Reuters