Satu program ilmu bertajuk Program Perkongsian Teknologi Pembangunan Sistem Secara DevOps anjuran UTMDigital telah berjaya dianjurkan di Pusat Ekosistem Digital (PED), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pendekatan pembangunan sistem secara DevOps kepada warga universiti yang terlibat dalam pembangunan aplikasi dan teknologi maklumat.
Program ini menghimpunkan pakar-pakar IT dari UTMDigital yang berkongsi amalan terbaik (best practices) serta pengalaman sebenar mereka dalam melaksanakan pembangunan sistem berteraskan DevOps, termasuk penggunaan CI/CD (Continuous Integration/Continuous Deployment), automasi, pengurusan kod sumber, serta pemantauan aplikasi.
Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap pendekatan pembangunan moden yang lebih cekap, kolaboratif dan responsif terhadap keperluan pengguna. Pendekatan DevOps bukan sahaja membantu mempercepat proses pembangunan perisian, tetapi juga memastikan kualiti dan kebolehpercayaan sistem sentiasa terpelihara.
Program ini turut disertai oleh staf teknikal daripada Pusat Komputeran dan Informatik (CCI), pelajar pascasiswazah bidang teknologi maklumat, serta wakil daripada pelbagai jabatan teknikal di UMT. Para peserta berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui sesi bengkel praktikal yang dikendalikan oleh fasilitator UTMDigital.
Penganjuran program ini di PED menjadi simbolik kepada usaha berterusan UMT dalam menjadikan ekosistem digital sebagai tonggak utama pembangunan teknologi dan inovasi di kampus.

Share the Post: