Satu sesi perjumpaan mesra antara Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Professor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, bersama staf Pusat Ekosistem Digital (PED) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Senat pagi tadi.
Perjumpaan ini merupakan platform santai namun bermakna yang membolehkan Naib Canselor berinteraksi secara langsung dengan warga PED bagi memahami cabaran, keperluan dan pencapaian pusat ini dalam mendepani era pendigitalan universiti.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga PED atas komitmen dan usaha berterusan dalam memperkasa ekosistem digital UMT, termasuk pembangunan sistem dalaman, infrastruktur digital, serta inovasi berasaskan teknologi. Beliau turut menekankan kepentingan sinergi antara PED dan semua pusat tanggungjawab (PTj) dalam memastikan kelangsungan transformasi digital universiti secara menyeluruh.
“PED merupakan nadi transformasi digital UMT. Usaha kalian bukan sahaja menyokong operasi harian universiti, malah mencorakkan masa depan UMT sebagai universiti digital yang unggul,” ujar beliau.
Perjumpaan turut diisi dengan sesi perkongsian pencapaian PED, cabaran teknikal yang dihadapi, serta cadangan penambahbaikan ke arah pengurusan sistem dan perkhidmatan digital yang lebih berkesan. Staf PED juga berpeluang mengemukakan pandangan dan pertanyaan secara langsung kepada Naib Canselor dalam suasana terbuka dan mesra.